Zahid mohon Agong beri pengampunan penuh kepada ‘Bossku’

Zahid mohon Agong beri pengampunan penuh kepada ‘Bossku’

Presiden Zahid Hamidi berkata Umno menghormati proses perundangan sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan untuk Najib Razak.

najib razak
Mahkamah Rayuan membenarkan Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan titah adendum yang dikatakan membenarkannya menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Umno Zahid Hamidi memohon ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan penuh kepada Najib Razak bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Zahid juga menjunjung kasih Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang telah memperakukan titah adendum Najib bertarikh 29 Jan 2024 adalah wujud dan sahih, yang dizahirkan Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang dalam kenyataan.

Al-Sultan Abdullah, merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16 sebelum Sultan Johor Sultan Ibrahim mengangkat sumpah Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lalu.

“Perakuan kesahihan titah adendum yang dizahirkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang membuktikan kebenaran afidavit tambahan menyokong petisyen Najib yang telah dibuat oleh saya dan Wan Rosdy Wan Ismail (menteri besar Pahang), sebelum ini.

“Umno menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan buat Najib,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan membenarkan bekas perdana menteri memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan suatu titah adendum yang dikatakan membenarkannya menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.

Sidang tiga hakim di Mahkamah Rayuan, dalam keputusan majoriti, juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu apabila merit kes diperdengarkan di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Wan Rosdy dalam kenyataan berasingan berkata keputusan mahkamah hari ini memberi harapan kepada bekas presiden Umno untuk mendapatkan keadilan sewajarnya.

“Di samping itu, surat daripada Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Jan juga membuktikan bahawa afidavit yang dikemukakan oleh saya dan juga presiden Umno berasas dan tidak bersifat khabar angin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.