Selangor pertimbang ujian urin masuk konsert

Selangor pertimbang ujian urin masuk konsert

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri pada Rabu.

pinkfish countdown
Polis berkata, empat individu maut dipercayai terbabit dalam pengambilan dadah jenis ekstasi selepas menghadiri satu konsert ambang tahun baharu (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor tidak menolak menguatkuasakan saringan air kencing ke atas pengunjung menjadi sebahagian SOP penganjuran konsert, kata exco.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim, berkata kelengkapan mesin pengimbas juga boleh dilaksanakan agar sebarang bahan terlarang dapat dikesan daripada dibawa masuk ke sesuatu konsert.

Katanya, sepatutnya penganjuran sesuatu konsert memberikan impak baik, namun disebabkan insiden konsert Pinkfish telah memberi imej negatif.

“Dulu, saya pergi ke Genting Highlands menyaksikan konsert Kitaro, semua diperiksa termasuk mesin pengimbas dan beg dompet pun kena keluarkan.

“Kali ini mungkin urin pun kena ‘check’. Itu antara mungkin syor supaya orang yang menyalahgunakan dadah atau penagih dadah tidak benarkan masuk,” katanya menurut Kosmo.

Ng ketika mengulas lanjut, berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri Rabu ini bagi menambah baik penganjuran konsert.

Dalam kejadian pada 31 Dis, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata empat mangsa yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert Pinkfish disyaki terbabit dalam pengambilan dadah jenis ekstasi.

Hussein berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dua lagi mangsa lain turut dilaporkan mempunyai simptom sama berkait dengan kematian empat individu berkenaan telah mula sedar, namun berada dalam keadaan lemah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.