
Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu menyertai perhimpunan itu kerana melanggar undang-undang sedia ada.
“Polis juga akan mendirikan beberapa sekatan jalan raya di jalan-jalan masuk ke Putrajaya dan akan membuat pemeriksaan ketat ke atas semua orang yang akan memasuki kawasan Putrajaya esok.
“Langkah ini adalah bagi memastikan tiada apa-apa senjata, sepanduk dan ‘banner’ yang mengandungi perkataan atau unsur-unsur jelik serta hasutan berhubung dengan perhimpunan esok,” katanya, menurut Berita Harian.
Sebelum ini dilaporkan suatu perhimpunan akan diadakan pada 6 Jan, iaitu hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Semalam, Aidi Sham menjelaskan himpunan berkenaan tidak mendapat kebenaran permohonan tidak lengkap.
Katanya, seramai 456 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya esok.
Sementara itu, tinjauan Bernama hari ini mendapati pekarangan Istana Kehakiman telah dipasang pagar bagi memastikan tiada sebarang perhimpunan diadakan di kawasan tersebut.
Kelmarin, Ketua Polis Negara Razarudin Husain menggesa orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak, demi menghormati Yang di-Pertuan Agong.
Gesaan beliau menyusul kenyataan Istana Negara, mengingatkan semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang bagi memohon pengampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.