Elak salah guna, Sarawak salur bantuan keperluan asas guna e-dompet

Elak salah guna, Sarawak salur bantuan keperluan asas guna e-dompet

Bantuan sekali bayar diberikan ikut kategori antara RM250 hingga RM800 setahun guna S Pay.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata baucar dan wang tunai ada potensi disalahgunakan bukan untuk tujuan keperluan asas.
PETALING JAYA:
Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (Skas) akan disalurkan melalui e-dompet S Pay Global (S Pay) bagi memastikan ia diguna untuk keperluan asas sahaja.

Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata bantuan baucar atau wang tunai berpotensi disalahgunakan, dengan penerima mungkin menggunakan bantuan itu untuk perkara lain.

“Kita telah menilai cara-cara pemberian baucar dan wang tunai. Jika diberikan secara tunai, duit itu berkemungkinan tidak sampai kepada barangan keperluan asas seperti beras.

“Baucar pula boleh ditukar kepada wang tunai di kedai, yang juga boleh disalahgunakan. Sebab itu, kita gunakan kaedah digital supaya sekurang-kurangnya penerima dapat membeli beras untuk keluarga mereka,” katanya menurut Bernama pada sidang media selepas melawat Pusat Servis Sarawak, Kuching.

Dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2025 pada Nov tahun lalu, Abang Johari mengumumkan Skas dengan jumlah bantuan sekali bayar antara RM250 hingga RM800 setahun, bergantung kepada kategori kelayakan penerima – bujang, isi rumah, dan warga emas.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan berdasarkan senarai penerima sumbangan tunai rahmah (STR), jumlah penerima Skas yang layak adalah 886,288 orang, dengan nilai keseluruhan RM464.5 juta.

“Mereka yang tidak tersenarai dalam STR, tetapi memenuhi kriteria kelayakan boleh mengemukakan permohonan mulai 1 Feb hingga 31 Mac ini.

“Rakyat Sarawak yang layak dan belum mendaftar dengan S Pay tidak perlu risau kerana pendaftaran dibuka sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata bantuan itu akan mula dimasukkan secara berperingkat dalam akaun S Pay penerima bermula bulan depan.

Setakat ini, 27% daripada jumlah rakyat Sarawak yang layak menerima bantuan itu telah menebus SKAS menerusi aplikasi S Pay.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.