Wanita ditikam anak saudara akibat perang mulut

Wanita ditikam anak saudara akibat perang mulut

Pertengkaran mulut berlaku apabila suspek berusia 14 tahun ingin kembali tinggal bersama ibu kandungnya, namun dihalang oleh mangsa.

handcuff
Suspek ditahan di lokasi kejadian bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, kata Ketua Polis Seberang Perai Tengah Helmi Aris.
BUTTERWORTH:
Seorang wanita mengalami kecederaan di bahagian perut selepas ditikam dengan pisau oleh anak saudaranya ketika berlaku pertengkaran mulut antara mereka dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Perai Jaya, Perai, semalam.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11.30 pagi, yang melibatkan mangsa berusia 35 tahun yang ditikam di bahagian perut oleh anak saudaranya.

“Berdasarkan siasatan awal, remaja perempuan berusia 14 tahun itu tinggal bersama ibu saudaranya sejak empat hari lalu kerana menghadapi masalah keluarga. Kejadian tikaman itu berlaku ketika mereka berada di ruang tamu rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pertengkaran mulut berlaku antara mereka apabila suspek ingin kembali tinggal bersama ibu kandungnya, namun dihalang oleh mangsa.

Katanya, mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut manakala suspek ditahan di lokasi kejadian bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.