
Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed, pihaknya ada menerima permohonan berhubung penganjuran himpunan itu pada 31 Dis lalu.
“Selepas disemak, didapati permohonan itu tidak lengkap dan polis menolak kebenaran untuk tujuan himpunan terbabit.
“Pemakluman penolakan permohonan sudah disampaikan kepada pihak penganjur pada 3 Jan,” katanya dalam kenyataan menurut Berita Harian.
Katanya, seramai 456 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya pada Isnin ini.
Sebelum ini dilaporkan suatu perhimpunan akan diadakan pada 6 Jan, iaitu hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain menggesa orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak, demi menghormati Yang di-Pertuan Agong.
Gesaan beliau itu menyusul kenyataan Istana Negara, yang mengingatkan semua pihak menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon pengampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.