Pemimpin Pemuda PAS tepis naratif lebihkan Najib berbanding Muhyiddin

Pemimpin Pemuda PAS tepis naratif lebihkan Najib berbanding Muhyiddin

PAS berkata tiada isu ia melebihkan bekas perdana menteri berbanding Pengerusi PN Muhyiddin Yassin susulan penganjuran himpunan solidariti.

Najib Razak
Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan Najib Razak, Isnin depan mengenai perintah tambahan didakwa meletakkannya bawah tahanan rumah.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Pemuda PAS menolak dakwaan parti itu melebihkan bekas perdana menteri Najib Razak berbanding Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin susulan penganjuran perhimpunan solidariti, Isnin ini.

Ketua Penerangan Khairul Nadzir Helmi Azhar menjelaskan perhimpunan di Putrajaya itu bukan semata-mata untuk Najib sebaliknya ingin mengetahui sama ada titah adendum Yang di-Pertuan Agong terdahulu wujud atau tidak.

Perhimpunan itu akan diadakan pada hari sama Mahkamah Rayuan mendengar permohonan Najib mengenai perintah tambahan yang didakwa meletakkannya bawah tahanan rumah.

Khairul Nadzir Helmi Azhar.
Khairul Nadzir Helmi Azhar.

“Perhimpunan disertai PAS bukan semata-mata tentang Najib, tetapi isu bagaimana sebuah titah oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu disorokkan dan jika benar, PAS menganggap itu satu penderhakaan,” katanya kepada FMT.

Menepis PAS melebihkan Najib, Khairul menyifatkan dakwaan itu hanya ‘naratif politik’.

“Hakikatnya sudah tentu PAS akan melebihkan Muhyiddin kerana pemimpin PN,” katanya.

Mohd Hafez Sabri.
Mohd Hafez Sabri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda, Mohd Hafez Sabri, berkata PAS menantikan keputusan Isnin ini sama ada titah adendum ke atas Najib untuk menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah wujud atau tidak.

Katanya, PAS mohon perkara itu dijelaskan kepada rakyat dan menuntut kebenaran mengenai isu tersebut.

“Kita minta keadilan ditegakkan dan mohon titah Yang di-Pertuan Agong jangan diperkecilkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.