‘Kenapa tak cerita perkara sebenar,’ Syed Hussin soal Bernas

‘Kenapa tak cerita perkara sebenar,’ Syed Hussin soal Bernas

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dakwa ada dua pertemuan dengan Bernas iaitu pada 11 dan 20 Dis lalu untuk bincang kemasukan beras putih Pakistan.

abu
Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata beliau ada meminta kebenaran untuk membawa masuk 100,000 tan metrik beras putih Pakistan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (Naccol) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mempersoalkan penafian Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berhubung ada perbincangan untuk mengimport beras dari Pakistan.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mendakwa dalam pertemuan pertama pada 11 Dis lalu, beliau meminta kebenaran untuk membawa masuk 100,000 tan metrik beras putih Pakistan seperti dipersetujui Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam lawatan ke negara terbabit sebelum itu.

Menurutnya, susulan lawatannya ke Pakistan pada 16 hingga 19 Dis, beliau telah bertemu 28 pengeksport yang bersetuju membekalkan beras putih terbabit dengan harga lebih murah.

“Pada 20 Dis, sekembalinya dari lawatan itu tiga orang wakil Bernas telah berjumpa saya dan memaklumkan bahawa Bernas tidak memberikan kebenaran untuk membawa masuk beras putih Pakistan yang murah tersebut ke Malaysia.

“Saya memaklumkan bahawa pengeksport beras Pakistan telah menurunkan harga jualan kepada RM20 sekampit.

“Sekiranya pihak Bernas tidak membenarkannya di bawa masuk…maka Bernas mestilah menurunkan lagi harga Beras Putih Import (BPI) yang kini dijual pada harga RM28 sekampit di pintu kilang,” katanya dalam kenyataan.

Justeru itu, beliau mempersoalkan mengapa tidak menceritakan perkara sebenar berhubung ada perbincangan diadakan dengannya berhubung usaha membawa masuk beras dari Pakistan.

Beliau mengulas kenyataan Bernas semalam yang menafikan ada perbincangan untuk mengimport beras putih dari Pakistan seperti dinyatakan Syed Hussin.

Bernas turut memaklumkan Malaysia tidak mengalami sebarang krisis bekalan beras dan BPI sentiasa mencukupi bagi keperluan negara.

Mengulas lanjut, Syed Hussin berkata tujuan pengimportan beras putih Pakistan yang murah itu untuk menampung ‘kehilangan’ Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran, termasuk ketika musim banjir baru-baru ini.

“Mengapakah cadangan penyelesaian oleh Task Force Kluster Makanan Naccol agar diwujudkan satu gred tunggal Beras Putih Madani yang dijual pada harga RM30 sekampit masih tidak dimuktamadkan.

“Walaupun ia telah dibentangkan dalam Mesyuarat penuh Naccol dan telah diumumkan perdana menteri sebelum itu,” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.