SPM: KPM sedia 133 pusat peperiksaan alternatif

SPM: KPM sedia 133 pusat peperiksaan alternatif

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata pusat peperiksaan alternatif disediakan di negeri berisiko dilanda banjir ketika peperiksaan berlangsung.

spm
Seramai 402,956 calon mula menduduki ujian bertulis Sijil Pelajaran Malaysia di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara bermula hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 133 pusat peperiksaan alternatif disediakan untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya berlaku banjir di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, mengikut rancangan itu sekiranya pusat peperiksaan dilanda banjir, maka calon SPM akan dialihkan ke pusat alternatif iaitu di sekolah yang tidak dilanda banjir, lapor Sinar Harian.

Katanya, itu antara mekanisme dan pelan integrasi Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan semua calon SPM di negeri berisiko banjir dapat menduduki peperiksaan berkenaan yang bermula hari ini.

“Sekiranya berlaku banjir, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan aktifkan Ops Payung bagi membantu calon dan juga petugas peperiksaan yang terkesan.

“KPM akan pastikan calon-calon SPM ditempatkan di sekolah yang mempunyai asrama sebagai mekanisme sekiranya banjir berlaku sebagaimana yang dibuat semasa ujian lisan tempoh hari,” katanya.

Azman berkata, KPM juga menyediakan khidmat bantuan psikososial kepada calon SPM yang mengalami tekanan akibat banjir.

Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2024 di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara bermula 2 Dis lalu.

SPM 2024 bermula dengan ujian lisan dan mendengar bahasa Melayu dan Inggeris serta amali sains pada 2 Dis hingga 31 Dis lalu, dan peperiksaan bertulis bermula hari ini hingga 6 Feb ini.

Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2024 di 3,337 pusat peperiksaan seluruh negara

Pada Rabu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan dalam tempoh tiga hari bermula Sabtu ini.

Ketika ini, tiga negeri iaitu Kelantan, Perak dan Johor masih dilanda banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.