
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim, berkata pertemuan akan diadakan hari ini melibatkan wakil penduduk dan pihak pemaju bagi membincangkan kadar yang akan diberikan kepada penduduk.
“Sebenarnya bukan pampasan lah, tetapi lebih kepada ‘ex-gratia’, yang kadarnya akan ditentukan dalam perbincangan hari ini. Saya akan meneliti perkara ini dan kita akan bantu mereka.
“Di pihak kerajaan juga, di bawah Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) sebenarnya kita sedang teliti jenis bantuan dan sokongan yang boleh diberikan,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan pembukaan Pasar Raya Ehsan Mart yang kedua di Pandan Utama, Ampang.
Beliau berkata, sumbangan itu akan diberikan berdasarkan kadar kerugian penduduk terjejas.
“Setakat ini kita telah mengkaji aspek teknikal dan mengenal pasti penyelesaiannya dan kami akan perincikannya dalam minggu ini. Saya nak tengok lagi langkah yang boleh diambil untuk jangka masa panjang dan sekarang ini tindakan untuk jangka pendek sedang dilaksanakan dan hampir siap,” katanya.
Selasa lalu, dilaporkan penduduk di taman berkenaan meminta pemaju kolam takungan air bertanggungjawab serta membayar ganti rugi kepada penduduk disebabkan kejadian serupa pernah terjadi pada Disember 2015 yang menyebabkan banjir kilat.