Lebih 10 syarikat mohon tawar khidmat periksa kenderaan, kata Loke

Lebih 10 syarikat mohon tawar khidmat periksa kenderaan, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata permohonan syarikat itu sedang disemak.

Anthony Loke Siew Fook
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, jumlah sebenar syarikat yang akan diberi lesen menjalankan pemeriksaan kenderaan akan diumumkan kemudian.
PUTRAJAYA:
Lebih 10 syarikat memohon untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan di seluruh negara, suatu langkah yang dapat menamatkan monopoli tiga dekad Puspakom, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke berkata, kementeriannya sedang menyemak permohonan-permohonan itu dan berharap dapat memperkenalkan pengendali pemeriksaan kenderaan baharu menjelang akhir tahun ini.

“Jumlah sebenar syarikat yang akan diberikan lesen akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media.

“Pengendali baharu tersebut akan perlu masa untuk membina fasiliti mereka tetapi ini akan memberi pengguna jalan raya lebih banyak pilihan untuk pemeriksaan kenderaan.”

Pada Mac 2023, Loke mengumumkan bahawa Jemaah Menteri memutuskan untuk memberi peluang kepada pihak lain yang layak menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan selepas konsesi Puspakom berakhir pada 31 Ogos 2024.

Puspakom ialah syarikat pemeriksaan kenderaan komprehensif nasional pertama yang satu-satunya dibenarkan menjalankan semua pemeriksaan mandatori untuk kenderaan komersial dan persendirian, dilantik oleh kerajaan pada 1994.

Loke hari ini berkata, tiga pegawai Puspakom sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa meluluskan kenderaan tidak selamat semasa pemeriksaan.

“Jika lebih ramai individu terlibat, mereka juga akan dipanggil (untuk disiasat),” tambahnya.

Dilaporkan semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merakam keterangan kakitangan Puspakom cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur, yang dipercayai meluluskan kenderaan tidak selamat.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya sedang menyediakan kertas siasatan berhubung kes itu sebelum merujuknya kepada SPRM untuk menentukan sama ada wujudnya sebarang salah laku atau salah guna kuasa.

Sewa aksesori kereta untuk lulus pemeriksaan

Loke turut menekankan bahawa siasatan berterusan sedang dijalankan terhadap sindiket yang menyewakan aksesori kereta seperti cermin gelap atau alat ganti kepada pemilik kenderaan untuk membantu mereka melepasi pemeriksaan buat sementara.

“Ada antara aksesori ini disewa untuk setengah hari sahaja. Sindiket ini menjejaskan keselamatan jalan raya,” katanya.

Loke juga berkata, undang-undang semasa, yang tidak memperuntukkan penyewaan aksesori sebagai suatu kesalahan, menjadikan usaha penguatkuasaan lebih mencabar.

“Kita sedang mempertimbangkan pindaan untuk menangani (kelompongan undang-undang) ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.