Kerajaan mesti dedah sama ada wujud titah ‘tahanan rumah’, kata peguam

Kerajaan mesti dedah sama ada wujud titah ‘tahanan rumah’, kata peguam

Agong dan peguam negara semasa tidak seharusnya dibebankan dengan perkara yang sudah diputuskan, kata Baljit Singh Sidhu.

Peguam Baljit Singh Sidhu berkata, kewujudan titah addendum berhubung tahanan rumah bagi Najib Razak penting untuk didedahkan bagi mengekalkan kepercayaan orang ramai dan memastikan akauntabiliti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan bertanggungjawab menjelaskan sama ada wujud titah diraja yang dikatakan membenarkan Najib Razak menjalani baki tempoh penjara sebagai tahanan rumah, kata seorang peguam kanan.

Baljit Singh Sidhu berkata, pendedahan penuh tentang kewujudan titah itu penting untuk mengekalkan kepercayaan orang ramai dan memastikan wujudnya akauntabiliti, dan beliau menggesa perkara itu ditangani dengan segera dan telus.

“Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan pada setiap masa. Kerajaan mesti mengambil pendekatan tegas dan proaktif dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan.

Baljit berkata, Jabatan Peguam Negara dan jabatan hal ehwal undang-undang kementerian berkaitan mesti memainkan peranan aktif dalam memberikan kejelasan dan memastikan akauntabiliti.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong semasa, Sultan Ibrahim, dan penyandang Peguam Negara Dusuki Mokhtar, tidak seharusnya terbeban jika perkara itu sudah diputuskan.

“Ia tanggungjawab pihak-pihak yang berkaitan pada masa keputusan itu dibuat untuk memberikan penjelasan yang diperlukan dan menyelesaikan isu ini dengan integriti untuk melindungi kredibiliti institusi kita dan prinsip keadilan,” tambahnya.

Baljit berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa besar kepada Agong untuk mengurniakan pengampunan, penangguhan atau penggantungan hukuman.

Peguam itu mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara minggu lepas atas arahan Sultan Ibrahim.

Menurut kenyataan itu, semua permohonan pengampunan berhubung kesalahan yang dilakukan di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mesti dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Awal minggu ini, bekas peguam negara Abu Talib Othman mempertahankan kenyataan Jabatan Peguam Negara itu dengan berkata, ia bertujuan mengelakkan perkara seperti itu dicabar di mahkamah.

Abu Talib, yang berkhidmat sebagai peguam negara antara 1980 dan 1993, berkata baginda berhak mendesak agar semua petisyen pengampunan di tiga wilayah persekutuan itu diserahkan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Kenyataan Jabatan Peguam Negara itu dikeluarkan di tengah-tengah spekulasi berterusan mengenai titah yang dikatakan dikeluarkan oleh Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sejurus sebelum penggal lima tahunnya sebagai Agong berakhir setahun lepas.

Pada Julai 2020, Najib disabitkan oleh Mahkamah Tinggi atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Kedua-dua Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut, yang mula dijalani bekas perdana menteri itu pada 23 Ogos 2022.

Pada 2 Feb tahun lepas, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dipendekkan kepada enam tahun penjara dan dendanya dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib bagaimanapun mendakwa embaga itu gagal mengumumkan dan melaksanakan titah addendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Sultan Abdullah membenarkan beliau menjalani baki tempoh penjara sebagai tahanan rumah.

Pada 6 Jan, Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan baharu bagi menyokong rayuannya mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman dalam usaha menguatkuasakan terma titah addendum yang dikatakan wujud itu.

Dia memohon mahkamah memaksa kerajaan melaksanakan titah itu dengan membenarkannya menjalani tahanan di rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.