Kenderaan ‘tak selamat’ dilulus Puspakom alami masalah ‘wiper’

Kenderaan ‘tak selamat’ dilulus Puspakom alami masalah ‘wiper’

Ketua eksekutif Puspakom mendakwa, kakitangannya tersilap apabila tidak melihat sendiri 'wiper' itu, yang dikatakan reput, sebelum meluluskan pemeriksaan.

PUSPAKOM
Ketua Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman memberi jaminan bahawa kakitangan yang didapati terlibat dengan sebarang kesalahan termasuk rasuah tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.
PETALING JAYA:
Kenderaan didakwa tidak selamat yang diluluskan kakitangan Puspakom Wangsa Maju mengalami masalah ‘wiper’, menurut ketua eksekutifnya.

Mahmood Razak Bahman berkata, sehingga kini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memanggil empat kakitangan Puspakom Wangsa Maju pada 31 Dis dan hari ini untuk membantu siasatan.

“Segala maklumat telah diberi pegawai (terlibat) kepada pihak berkuasa (JPJ), melibatkan satu masalah iaitu ‘wiper,” katanya pada sidang media di Puspakom Shah Alam.

Menurut Mahmood, kenderaan yang terlibat, iaitu sebuah lori, tidak lulus pemeriksaan kali pertama, namun melepasi pemeriksaan ‘wiper’ pada kali kedua, walaupun mengalami masalah sistem brek, yang kemudiannya lulus pada pemeriksaan kali ketiga.

“Namun ada satu kesilapan dilakukan (kakitangan Puspakom), iaitu tidak melihat ‘wiper’ itu secara fizikal, yang sebenarnya reput,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahmood berkata, beliau berpuas hati dengan keterangan dua kakitangannya yang disiasat JPJ, namun harus menunggu laporan siasatan JPJ sebelum pihaknya dapat mengambil tindakan wajar.

“Pada 31 Dis (lepas), saya jumpa dua kakitangan yang dipanggil JPJ, dan saya berpuas hati dengan kerja yang mereka sebenarnya lakukan,” katanya menambah, kedua-dua kakitangan itu mempunyai rekod kerja yang baik.

“Jadi kita tunggu laporan penuh daripada JPJ agar kita dapat mengambil tindakan sewajarnya.”

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kakitangan yang didapati terlibat dengan sebarang bentuk kesalahan termasuk rasuah tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

Dilaporkan pada Isnin bahawa JPJ melaksanakan operasi mengejut di semua cawangan Puspakom di seluruh negara secara serentak, membabitkan 350 pegawai dan anggota, bagi memastikan setiap kenderaan diperiksa mematuhi piawaian ditetapkan.

Dalam tempoh dua jam, JPJ melakukan pemeriksaan terhadap 115 lori dan mengeluarkan 69 notis saman serta 29 kenderaan diambil tindakan.

Susulan itu, JPJ memanggil beberapa kakitangan Puspakom disyaki meluluskan kenderaan tidak selamat untuk memberi keterangan semalam.

Mengulas isu nahas mengorbankan tujuh individu di Ayer Keroh 22 Dis lepas berpunca daripada tayar sebuah lori tercabut berada di tengah lebuh raya, Mahmood berkata, laporan siasatan Puspakom telah diserahkan kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) untuk tindakan susulan.

“Laporan hanya merangkumi pemeriksaan kenderaan tersebut dan tayar yang tertanggal itu tidak diperiksa kerana Puspakom tidak menerima tayar tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.