147 pegawai, anggota polis dibuang kerja tahun lepas

147 pegawai, anggota polis dibuang kerja tahun lepas

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Azri Ahmad berkata kebanyakannya terbabit dengan isu narkotik dan disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

polis
Azri Ahmad berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat dengan salah laku.
MELAKA:
Sebanyak 147 pegawai dan anggota polis dibuang kerja pada tahun lepas, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad.

Beliau berkata kebanyakan dalam kalangan mereka terbabit dengan isu narkotik dan telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

“Kebanyakannya apabila saringan pertama air kencing positif, sampel kedua dihantar kepada patologis hospital dan mengesahkan positif, baharu kita tuduh di mahkamah.

“Keputusan perbicaraan itu, apabila sabit (kesalahan) tindakannya adalah buang kerja,” katanya kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Polis Melaka Zainol Samah kepada pemangkunya Md Nazri Zawawi di IPK Melaka di sini hari ini.

Pada majlis itu turut berlangsung serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) antara Sabariah Hashim dan Shahida Salleh.

Azri berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat dengan salah laku kerana pasukan itu merupakan pelindung kepada masyarakat.

“Jangkaan daripada masyarakat tinggi (terhadap PDRM) dan kami pula, kita berusaha (untuk kekalkan disiplin pegawai dan anggota)… yang tidak sesuai berada dalam PDRM, kami akan singkirkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.