
Presiden Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, ia melibatkan penyusunan dan pertukaran sejumlah data yang besar ke format digital supaya dapat dikongsi semua institusi penjagaan kesihatan awam serta mudah diakses orang ramai.

“Kami juga ingin proses itu dipercepatkan namun pada masa sama adalah penting bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem terjamin.
“Maka perlu beri masa, KKM sedang berusaha keras ke arah pelaksanaan itu,” katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, beliau berkata ada beberapa institusi penjagaan kesihatan awam sudah menggunakan platform EMR ketika ini, cuma ia perlu disepadukan ke dalam keseluruhan sistem.
Pada Isnin, Presiden Gerakan Dominic Lau mendakwa institusi perubatan awam dalam negara menghadapi ‘gelombang besar dan parah’ disebabkan kekurangan kemudahan asas lengkap termasuk sistem komputer yang lebih efisien.
“Walaupun untuk menjejak laporan ujian darah yang mudah, doktor tidak dapat mengaksesnya melalui sistem komputer. Sebaliknya, ia perlu dilakukan secara manual dengan menyemak dokumen fizikal,” katanya.
Sementara itu, Kalwinder mencadangkan kerajaan mengkaji penyediaan bajet khusus yang didedikasikan untuk menyokong pendigitalan penjagaan kesihatan awam.
Beliau berharap lebih banyak dana diperuntukkan kepada KKM bagi menyokong tujuan itu pada masa akan datang.