
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kerja-kerja pemulihan dan pembaikan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal, iaitu pada Feb 2025.
“DBKL bertekad untuk terus menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat, mampan, dan selesa untuk didiami,” menurut kenyataan.
DBKL merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pemulihan.
“DBKL juga amat menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang tempoh kerja-kerja pemulihan ini dijalankan.”
Sepanjang tempoh fasa pemulihan dan pembaikan, DBKL melaksanakan pemeriksaan terperinci melibatkan kerja-kerja penyiasatan tanah secara ‘deep boring’ bagi mendapatkan profail tanah di sekitar Jalan Masjid India.
Sebanyak 4 ujian ‘deep boring’ dijalankan bagi menentu ukur lapisan tanah dan hasil dapatan dimasukkan di dalam laporan akhir Insiden Jalan Masjid India.
Selain itu, beberapa kerja dilaksanakan termasuk baik pulih saluran kumbahan yang rosak oleh Indah Water Konsortium, kerja-kerja pembaikan kemasan siar kaki di “Ground Zero” yang rosak serta pembaikan dan naik taraf saluran longkang di kawasan sekitar Wisma Melayu dan Jalan
Masjid India yang disiapkan oleh DBKL.
Syarikat utiliti seperti syarikat telekomunikasi juga telah membaikpulih aset mereka di kawasan tapak insiden.
“Sebagai langkah proaktif DBKL turut melakukan pemantauan secara visual di kawasan-kawasan sekitar insiden secara berkala. Pemeriksaan seumpama ini akan terus dijalankan oleh DBKL bersama syarikat utiliti dari semasa ke semasa bukan hanya di Jalan Masjid India malahan meliputi seluruh bandar Kuala Lumpur bagi menjamin keselamatan warga.
“Peruntukan sebanyak RM10 juta yang diberikan oleh kerajaan pusat kepada DBKL untuk tahun 2025, akan digunakan untuk melaksanakan kajian geoteknikal dan pengesanan utiliti di kawasan pusat perniagaan bandar bagi mencegah kejadian yang sama daripada berulang.”
DBKL berkata Laporan Akhir Insiden Lubang Benam akan dikemukakan ke Kabinet pada awal tahun 2025 sebelum disahkan untuk disiarkan kepada umum.
DBKL menggesa orang ramai yang mendapati terdapat tanda-tanda mendapan di rezab jalan awam atau wujudnya lubang benam untuk membuat aduan melalui portal Adu@kl atau menghubungi talian skuad penyelamat di talian 03-40106337.
Dalam kejadian pada 23 Ogos lalu, wanita warga India Vijaya Lakshmi, 48, yang berada di negara ini untuk melancong dilaporkan terjatuh ke dalam lubang benam di kawasan itu.
Berikutan itu, kawasan dari pintu gerbang sehingga ke Pasaraya Mydin dengan jarak 100 meter tidak boleh dilalui oleh pengunjung bagi kerja pemulihan dan pembinaan semula.
Pada 31 Ogos, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, mengumumkan operasi mencari dan menyelamat Vijaya dihentikan selepas sembilan hari dilaksanakan.