
Pengarah Komunikasi Fekirie Gobet, memetik kenyataan media oleh majlis pimpinan negeri (MPN) PKR Sabah, mendakwa isu ketirisan ini ‘sejak dahulu tidak ada jawapan’.
Beliau bagaimanapun tidak menyenaraikan projek-projek yang diperkatakan itu.
“Ketirisan ini menyebabkan pembangunan prasarana Sabah terutama bekalan elektrik, bekalan air, dan jalan raya terencat,” katanya.
Shafie Apdal merupakan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah dari 2009 hingga 2015, dalam pentadbiran Najib Razak.
Sementara itu, memetik kenyataan MPN PKR Sabah, Fekirie menarik perhatian kepada Loji Air Sungai Intan di Semporna, Sabah bernilai RM45 juta yang didakwa gagal memenuhi keperluan penduduk akibat lokasi pembinaan di kawasan air cetek.
Memetik laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 2017, Fekirie menarik perhatian kepada Projek Sistem Agihan Air Pulau Gaya dianggarkan bernilai RM93 juta, yang dihentikan oleh kerajaan Sabah atas alasan status pendudukan tanah yang tidak sah.
“Kedua-dua isu ini mencerminkan kelemahan serius dalam perancangan dan pelaksanaan projek bekalan air di Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Pemuda PKR Sabah berkata dakwaan ketirisan ini perlu dinilai semula kerana ia membabitkan wang rakyat, agar pihak yang mengakibatkan kerugian tidak terlepas.