Kepentingan peribadi, lemah iltizam halang akta dana politik, kata penganalisis

Kepentingan peribadi, lemah iltizam halang akta dana politik, kata penganalisis

Awang Azman Pawi dan Syaza Syukri berkata, kerajaan mahupun pembangkang tak bersungguh perkenal undang-undang had akses dana tak dikawal selia.

bendera pn ph
Undang-undang kawal selia pendanaan politik masih terbantut walaupun telah dijanjikan bertahun-tahun dan selepas beberapa kali kerajaan bertukar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penangguhan berterusan usaha meluluskan akta pendanaan politik membayangkan kelemahan iltizam politik merentasi spektrum parti, menurut penganalisis politik yang percaya bahawa kepentingan peribadi menjadi punca tentangan terhadap usul perundangan baharu itu.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya dan Syaza Syukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, kerajaan mahupun pembangkang tidak mempamerkan kesungguhan memperkenalkan had terhadap akses kepada dana yang tidak dikawal selia.

Awang Azman berkata, wakil rakyat yang sedang berkhidmat mendapat manfaat daripada dana budi bicara, khususnya di kerusi marginal atau di kawasan pilihan raya yang mempunyai ramai pengundi.

“Pendek kata, pihak yang meraih manfaat daripada status quo mempunyai segala insentif untuk melengah-lengahkannya,” katanya kepada FMT.

Menurut Awang Azman, walaupun perbincangan telah bermula sejak 2009 dan draf cadangan diusulkan pada 2016, tiada sebarang rang undang-undang pernah dibentangkan. Janji-janji reformasi, katanya, tetap kosong tanpa kepimpinan yang tegas.

“Sangat jelas, iltizam politik lemah di kedua-dua belah jurang politik,” tambahnya.

Syaza berkata, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) semuanya mendapat manfaat daripada sistem semasa yang tidak dikawal selia, dan tidak cukup dorongan sebenar untuk mengusahakan reformasi yang bermakna.

Katanya, isu kawal selia pendanaan politik sudah berlarutan selama bertahun-tahun. Kuasa telah bertukar tangan beberapa kali, namun undang-undang itu masih terbantut, tambahnya.

Syaza berkata, beliau tidak melihat mana-mana parti benar-benar serius untuk menggubal undang-undang sedemikian kerana ketelusan akan lebih merugikan mereka, berbanding menguntungkan.

“Parti-parti yang sedang berkuasa atau pernah memegang kuasa mahu mengekalkan keadaan ini,” katanya menambah, sudah menjadi lumrah parti yang menjadi kerajaan mahu terus berkuasa.

Pemuda PKR Sabah sebelum ini menggesa agar undang-undang pendanaan politik yang komprehensif diwujudkan pada peringkat persekutuan dan negeri.

Ketua Penerangan Hilmie Milus berkata, Sabah sudah lama bergelut dengan politik wang dan naungan, yang menghakis tadbir urus yang baik dan kepercayaan awam.

Pada Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, sukar untuk rang undang-undang pendanaan politik diluluskan sebelum PRU akan datang. Lebih banyak maklum balas masih diperlukan, terutamanya daripada masyarakat awam, katanya.

Awang Azman berkata, undang-undang pendanaan politik yang kukuh boleh membantu mencegah penyalahgunaan kuasa seperti yang dilihat dalam skandal 1MDB.

“Politik bersih memerlukan ketelusan, dan pendanaan yang tidak terkawal mencemarkan proses demokrasi,” katanya.

Syaza turut mempersoalkan sama ada terdapat tekanan awam yang mencukupi untuk menggerakkan isu ini.

“Kita bercakap tentang ketelusan dan kesaksamaan, tetapi adakah rakyat Malaysia benar-benar peduli tentang perkara ini? Selagi orang ramai tidak menuntut reformasi, ahli politik akan terus melengah-lengahkannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.