3 ditahan berkait penemuan mayat disyaki remaja hilang

3 ditahan berkait penemuan mayat disyaki remaja hilang

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata suspek yang ditahan termasuk teman lelaki mangsa.

hussein omar khan
Menurut Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, pihaknya masih menunggu keputusan analisa DNA untuk pengesahan identiti mangsa manakala semua suspek direman enam hari.
PETALING JAYA:
Polis menahan tiga individu susulan penemuan mayat di Banting Ahad lalu, dipercayai remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang di Kajang, 19 Dis lalu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata tiga suspek berusia 16 hingga 51 tahun termasuk teman lelaki mangsa itu ditahan bagi membantu siasatan.

“Ketiga-tiga suspek direman selama enam hari, mulai hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat yang dijumpai itu telah reput dan tidak dapat dikenal pasti melalui pengecaman fizikal.

“Proses bedah siasat telah dijalankan di Hospital Banting. Polis masih menunggu keputusan analisa DNA untuk pengesahan identiti mangsa tersebut,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media yang memetik sumber melaporkan polis sedang menyiasat penemuan satu mayat reput itu disyaki ada kaitan kes remaja perempuan terbabit.

Sumber memaklumkan, penemuan mayat mangsa yang dipercayai dibunuh dan dibuang dalam sebuah sungai itu hasil penahanan tiga individu dengan salah seorang daripadanya dikatakan teman lelaki mangsa.

Pada 19 Dis lalu, remaja perempuan berusia 15 tahun bernama Yap Xin Yuan dilaporkan hilang selepas menghadiri sesi latihan tarian singa di kawasan gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras.

Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof berkata pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan Yap daripada keluarganya pada 2.15 pagi, sehari selepas kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.