Polis nafi enggan terima repot penghantar barang ditikam pada mata

Polis nafi enggan terima repot penghantar barang ditikam pada mata

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar berkata dakwaan itu tidak benar kerana siasatan sedang dijalankan dan mangsa juga dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ketua Polis Bentong Zaiham Mohd Kahar meminta suspek yang menularkan dakwaan itu di WhatsApp tampil ke IPD Bentong untuk siasatan lanjut. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis Bentong menafikan dakwaan enggan menerima laporan penghantar barang mendakwa ditikam pada mata.

Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata IPD Bentong mengesan dakwaan itu ditularkan menerusi WhatsApp pada 1.30 tengah hari semalam.

Menurutnya, imej tangkap layar itu mendakwa polis Bentong enggan menerima laporan seorang penghantar barang berhubung perselisihan faham antara mangsa dan pelanggan sehingga menyebabkan dirinya cedera.

Beliau berkata, kandungan WhatsApp tular itu tidak benar kerana pihaknya menerima laporan mangsa dan menyiasat kes itu.

“Mangsa juga dihantar ke Hospital Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya menurut Harian Metro.

Susulan itu, beliau berkata, satu laporan dibuat penolong pegawai penyiasat jenayah IPD Bentong berhubung dakwaan berunsur fitnah berkenaan pada 3.01 petang semalam.

Zaiham meminta individu menularkan dakwaan itu di WhatsApp tampil ke IPD Bentong untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menasihatkan orang ramai lebih bertanggungjawab dan tidak menularkan perkara tidak benar sewenang-wenangnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.