
Menurut Pengerusi Norliza Abdul Rahim berkata, karnival yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Puchong Utama 3 itu menunjukkan komitmen PTPTN dalam menyahut seruan kerajaan berteraskan konsep Malaysia Madani yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
“Selari dengan objektif penubuhan Kelab Simpanan Pendidikan (PTPTN), karnival ini diharap dapat mempromosikan Simpan SSPN sebagai satu wadah penabungan melalui aktiviti keusahawanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Saya menyeru dan berharap agar sekolah-sekolah di negara ini dapat merebut peluang untuk berdaftar dengan Kelab Simpanan Pendidikan (untuk) menikmati pelbagai kelebihan yang disediakan.
“Antaranya, dapat menjadi Sahabat PTPTN, menikmati Insentif Kelab Simpanan Pendidikan berjumlah RM1,000 secara ‘one-off’, tajaan sudut info sebanyak RM250 dan berpeluang menyertai Pertandingan Menabung Peringkat Sekolah dan Peringkat Nasional anjuran PTPTN.”
Karnival disertai murid dan guru sekolah rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya itu dimeriahkan dengan gerai-gerai jualan dibuka oleh 100 ‘usahawan cilik’ daripada 20 buah sekolah yang berdaftar dengan Kelab Simpanan Pendidikan.
Pelbagai kegiatan lain turut disediakan untuk pengunjung termasuk pertandingan-pertandingan mewarna, menyusun suai gambar dan karaoke.
PTPTN turut membuka kaunter promosi Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai cenderamata menarik bagi pembukaan akaun baharu atau penambahan deposit sepanjang karnival berlangsung.
Dalam pada itu, PTPTN juga menyampaikan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM153,300.00 melalui Program Tabung Impian Kasih Simpan SSPN, khusus kepada ahli Kelab Simpanan Pendidikan di seluruh negara.
Melalui program ini, PTPTN memberikan sumbangan sebanyak RM100 dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi setiap murid yang masih aktif sebagai ahli Kelab Simpanan Pendidikan tahun ini, melibatkan 1,533 orang murid.
Norliza berkata, PTPTN sebagai agensi bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penabungan melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.
“PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara,” katanya.