
Hisomuddin Bakar dari Ilham Center berkata Ewon, yang merupakan Kadazandusun, bukan mewakili majoriti kerusi yang mungkin ditandingi PH pada pilihan raya itu.
Beliau berkata kekuatan PH Sabah sebahagian besarnya terletak di kawasan bandar, manakala gabungan itu dijangka bekerjasama dengan parti lain untuk pilihan raya.
PH Sabah kini memegang tujuh kerusi di DUN, di mana kesemuanya kecuali kerusi Kadamaian Ewon adalah kawasan bandar.
“Ewon bukanlah tokoh yang tepat kerana ia akan memberi gambaran seperti ‘poster boy’ yang tidak benar-benar mewakili imej PH Sabah dan bilangan kerusi yang akan ditandingi komponennya,” kata Hisomuddin kepada FMT.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata alternatif yang lebih baik ialah pemimpin DAP Sabah yang baru dipilih Phoong Jin Zhe, kerana DAP memegang empat kerusi di DUN berbanding dua untuk PKR dan satu untuk Upko.
Dari segi perwakilan parlimen, Upko dan DAP kedua-duanya mempunyai dua Ahli Parlimen di Sabah manakala PKR hanya mempunyai seorang.
“Dengan DAP memegang paling banyak kerusi dalam PH Sabah, Phoong adalah pilihan semula jadi dan mempunyai daya tarikan untuk menarik pengundi. Kehadiran Phoong di media juga memberikannya kelebihan berbanding Ewon,” kata Oh kepada FMT.
Bagaimanapun, Phoong mesti ‘berusaha memperbaiki karismanya’ untuk menjadi ‘poster boy’ PH Sabah, katanya.
Ewon dipilih sebagai ketua PH Sabah dengan kelebihan tiga undi pada 1 Dis, menyingkirkan wakil PKR, Christina Liew daripada jawatan yang disandangnya sejak 2017.
Dua minggu kemudian, Liew berkata perbincangan sedang diadakan mengenai kemungkinan dia kembali sebagai pengerusi PH Sabah, sambil menambah bahawa perbincangan diadakan dengan presiden PKR Anwar Ibrahim dan ahli majlis pimpinan negeri.
Bagaimanapun Phoong mempertahankan pemilihan Ewon dan menafikan bahawa terdapat peraturan menetapkan jawatan pengerusi PH negeri mesti dipegang oleh PKR.
Pemuda PH Sabah, yang terdiri daripada pemimpin Upko, DAP dan Amanah, sebelum ini mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan sokongan mereka kepada Ewon sebagai ketua PH Sabah yang baharu.