Abang Jo jangka MASwings milik Sarawak suku pertama tahun depan

Abang Jo jangka MASwings milik Sarawak suku pertama tahun depan

Persetujuan telah dicapai pada dasarnya, namun juruaudit belum capai kata putus berkenaan nilai pengambilalihan aset, kata premier Sarawak.

MASwings plane
Pada 23 Nov 2023, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Jerip Susil dilaporkan berkata, kerajaan Sarawak sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASWings sebagai persediaan pengambilalihan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Premier Sarawak Abang Johari Openg menjangkakan MASwings akan sah menjadi milik Sarawak dalam suku pertama tahun depan, susulan rundingan lanjutan berhubung nilai pengambilalihan aset.

Beliau berkata, perkara itu sepatutnya diselesaikan bulan ini, namun juruaudit kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) belum memuktamadkan nilai pengambilalihan aset syarikat penerbangan tersebut.

“Kita (Kementerian Pengangkutan Sarawak) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada dasarnya sudah bersetuju (mengenai pengambilalihan), cuma belum boleh menandatangani perjanjian.

“Ini kerana pihak ketiga, iaitu juruaudit belum mencapai kata putus berkenaan nilai pengambilalihan aset MASwings,” katanya di Kuching hari ini lapor Berita Harian.

Setakat Oktober lepas, proses pengambilalihan syarikat penerbangan itu oleh kerajaan Sarawak masih dalam proses pemuktamadan.

Pada 23 Nov 2023, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Jerip Susil dilaporkan berkata, kerajaan Sarawak sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASWings sebagai persediaan pengambilalihan.

Rundingan juga sedang dijalankan dengan MAG dan Khazanah Nasional Bhd untuk membeli saham MASWings.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.