
Pengarah Kesihatan Negeri Dr Harlina Rashid berkata merujuk laporan media berkait kelewatan yang berlaku pada 26 Dis lalu, situasi tersebut adalah amat dikesali.
“Pada hari itu berlaku kebakaran di bilik suis utama substation di hospital yang menyebabkan sedikit gangguan operasi ketika itu.
Selain jumlah kedatangan pesakit di ETD yang agak tinggi pada waktu itu, ketiadaan katil kosong di wad juga menyumbang kepada kelewatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, bagi mengurangkan impak kelewatan tersebut, sebuah ‘discharge lounge’ yang memuatkan enam katil dan ‘holding bay’ dengan kapasiti 12 katil sebagai wad transit sementara disediakan.
Harlina berkata sebagai langkah penambahbaikan seterusnya, beberapa tindakan yang dirangka sebelum ini akan terus diperkasa dan diaktifkan jika situasi yang sama berlaku.
“Situasi setiap syif di ETD sentiasa dipantau supaya pesakit dapat diberikan prioriti yang bersesuaian dan melaksanakan aktiviti ‘step-down’ pesakit iaitu memindahkan kes-kes yang bersesuaian ke hospital lain jika perlu,” katanya.
Tambahnya, kakitangan tambahan juga akan dimobilisasi ke ETD dengan segera ETD jika diperlukan.
“HTJS dan KKM (Kementerian Kesihatan) kekal komited dan akan sentiasa memastikan tiada kompromi dalam kualiti perawatan pesakit,” katanya.
Harian Metro pada Jumaat lalu melaporkan, kesesakan katil luar biasa di wad HTJS mencetus kebimbangan orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Tinjauan wartawan di ruangan pendaftaran kecemasan mendapati ramai pesakit tidak dapat diletakkan di wad sepatutnya akibat bilik wad penuh.