Jangan serang sampai pertikai kuasa Agong ampun Anwar

Jangan serang sampai pertikai kuasa Agong ampun Anwar

Ketua Pemuda PKR berkata kerajaan Madani tidak amal politik dendam dan maklum parti dalam kerajaan gabungan ada 'kepentingan' masing-masing.

Adam Adli Akmal Saleh
Adam Adli Abd Halim mahu Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menarik balik kenyataan pertikai pengampunan Anwar Ibrahim, memandangkan fakta berkaitannya sampai ke mahkamah ketika PH menjadi pembangkang.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh perlu waspada kenyataan mempersoalkan pengampunan diraja Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 2018, dibimbangi tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim, berkata kerajaan Madani tidak mengamalkan politik dendam atas pertembungan lampau dan mengambil maklum kerajaan gabungan pelbagai parti mempunyai “kepentingan” masing-masing.

“Mahkamah Rayuan pada 2021 juga pernah membatalkan satu saman mempertikaikan pengampunan diraja yang dikurniakan kepada Anwar Ibrahim. Hal ini telah diputuskan secara tuntas melalui keputusan mahkamah, sewaktu Anwar dan (Pakatan) Harapan berada di blok pembangkang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengurniaan pengampunan bukan keputusan dibuat sewenang-wenangnya mengikut desakan politik, tetapi dilindungi mekanisme ditetapkan undang-undang dan Perlembagaan.

“Kami di (Pakatan) Harapan ketika itu menuruti proses ini dengan cermat dan hemah atas dasar memperakui keluhuran Perlembagaan kita.”

Adam mengingatkan Akmal bahawa Najib didakwa dan disabitkan kesalahan pada zaman Dr Mahathir Mohamad; dijatuhkan hukuman penjara pada 2022 ketika zaman Ismail Sabri Yaakob.

“Semuanya melalui proses undang-undang yang tidak dipertikaikan, namun yang terus diserang adalah pentadbiran Anwar Ibrahim,” katanya.

Katanya, wajar ketua Pemuda Umno menarik semula kenyataan kerana serangan politiknya bersifat melulu, malah memesongkan fakta diketahui umum, selain tidak menghormati institusi raja dan undang-undang.

Sebelum ini, Akmal mempersoalkan sama ada pengampunan diraja Anwar pada 2018 dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.

Akmal bertanya sedemikian merujuk kenyataan media Jabatan Peguam Negara semalam memaklumkan permohonan pengampunan mana-mana banduan yang melakukan kesalahan di Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya mestilah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim, turut membidas Adun Merlimau itu, sambil meminta Akmal melakukan “kerja rumah” untuk menjadi hero kepada Najib.

“Ya, tahu nak jadi hero Najib tapi tak usah meraban ke hal lain. Tiada keperluan untuk soal perkara (pengampunan Anwar) yang telah selesai dan telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya di X.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.