
Wan Hasifi menjelaskan bahawa beliau sekadar ingin bertanding satu jawatan yang membolehkan dia menyumbang kepakaran kepada parti secara langsung di peringkat Pemuda pusat.
“Saya belum ada keputusan muktamad untuk bertanding jawatan apa. Yang pasti bukan ketua Pemuda pusat,” katanya kepada FMT.
PKR akan mengadakan pemilihan selepas mandat dipegang barisan pimpinan semasa berakhir Mei tahun depan.
Wan Hasifi, yang disenaraikan Forbes sebagai ’30 under 30′ di Asia pada 2020, menawarkan diri untuk jawatan Pemuda PKR, semalam.
Katanya, jika diberi peluang memimpin Pemuda PKR, antara perkara akan dilakukannya termasuk membangunkan aplikasi pembelian barangan asas secara berkumpulan khusus untuk ahli parti.
Terdahulu, Ketua Pemuda PKR Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim, berkata sayap itu memerlukan pemimpin yang mendapat sokongan akar umbi.
Mengulas lanjut, Wan Hasifi berkata beliau bercadang untuk tanding jawatan ketua Pemuda bahagian.
“Saya masih dalam proses permohonan pindah cabang. Jadi agak sukar nak sebut cabang mana melainkan permohonan dah diluluskan nanti,” katanya.