Keluar resit atau lesen tak dibaharui, menteri beritahu pembeli sawit

Keluar resit atau lesen tak dibaharui, menteri beritahu pembeli sawit

Johari Ghani berkata walaupun kes penipuan tidak banyak namun langkah itu demi jamin industri berkembang dan mampan kepada pekebun.

KELAPA_SAWIT
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani, berkata bermula tahun depan pembeli sawit wajib mengeluarkan resit kepada pekebun sawit.
PETALING JAYA:
Pembeli sawit wajib mengeluarkan resit tahun depan atau berdepan lesen tidak akan diperbaharui, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani.

Katanya, langkah itu bertujuan menyantuni aduan pekebun menyatakan pembeli sawit tidak menimbang secara betul, membawa kepada dakwaan penipuan.

Beliau berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sudah diarah turun padang melakukan pemeriksaan mengejut.

“Dia (pembeli sawit) mesti mengeluarkan resit kepada pekebun kecil, tunjuk berapa tan, berapa berat, berapa dia punya ‘oil extraction rate’ (kadar perahan minyak),” katanya menurut Berita Harian di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, beliau berkata peniaga membeli sawit perlu memastikan alat timbang digunakan dengan tepat.

“Mulai 2025 ini, saya sudah beritahu MPOB kita akan mensyaratkan pembeli-pembeli sawit atau ‘dealer’ ini, mereka kena betulkan timbang….jangan ada sebarang aduan lagi daripada pekebun kecil mengatakan timbang dia tak betul.

“Jadi, mereka yang terlibat dalam industri ini kena pastikan supaya dia mengikut prosedur ditetapkan dan sekiranya melanggar prosedur ini, lesen dia tidak akan diperbaharui.”

Johari berkata, isu penipuan timbang dan ketiadaan resit belian sawit masih berlaku dan jika tidak dibendung menyukarkan industri komoditi berkembang dan mampan.

“Tak banyak (kes penipuan), tapi masih ada aduan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.