1,457 kematian akibat nahas lori dalam 6 tahun

1,457 kematian akibat nahas lori dalam 6 tahun

Polis berkata kemalangan melibatkan bas pula mencatatkan 548 kes bagi tempoh sama dengan 153 kematian, 120 kecederaan parah dan 218 kecederaan ringan.

kemalangan lori
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya dalam kajiannya mendapati nahas lori di lebuh raya lebih cenderung menyebabkan kematian kerana kelajuan lebih tinggi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 1,457 kematian dicatatkan dalam 3,500 kemalangan membabitkan lori di seluruh negara sejak Januari 2019 hingga bulan lalu, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata, jumlah kematian tertinggi direkodkan pada 2019 iaitu 274 kematian, diikuti tahun ini dengan 260 kematian, 2023 (235 kematian), 2022 (232 kematian), 2021 (230 kematian) dan 2020 (226 kematian), manakala 473 kecederaan parah dan 1,076 kecederaan ringan dilaporkan dalam tempoh tersebut.

Bagi kemalangan melibatkan bas pula, 548 kes direkodkan bagi tempoh sama dengan 153 kematian, 120 kecederaan parah dan 218 kecederaan ringan dicatatkan.

“Polis akan terus mempergiatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan khususnya lori dan bas dalam usaha mengurangkan jumlah kematian membimbangkan yang direkodkan,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Menurutnya, polis akan meningkatkan kerjasama dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan syarikat konsesi lebuh raya bagi tujuan itu, selain berharap pemilik, syarikat dan pemandu kenderaan perdagangan bekerjasama memastikan keselamatan kenderaan mereka.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dalam kenyataan memaklumkan kajian mereka mendapati kemalangan melibatkan lori di lebuh raya lebih cenderung mengakibatkan kematian berbanding jalan lain seperti jalan persekutuan, negeri dan perbandaran.

“Ini mungkin disebabkan kelajuan kenderaan lebih tinggi di lebuh raya. Selain itu, lori dengan berat muatan apabila berada pada kelajuan lebih tinggi akan mencipta momentum besar sekiranya terlibat nahas jalan raya.

“Kajian sama juga menunjukkan risiko kematian bagi nahas melibatkan lori adalah tinggi jika ia berlaku di selekoh, berbanding geometri jalan lain. Selain itu, risiko kematian bagi pengguna kenderaan lain, kecuali bas lebih tinggi apabila terbabit nahas melibatkan lori.”

Miros juga berpandangan kemalangan disebabkan tayar tercabut boleh berpunca daripada kualiti rendah pembuatan dan pengeluaran komponen kenderaan, amalan penyelenggaraan tidak baik serta pemunggahan muatan melebihi had berat.

Miros juga mengingatkan pemilik semua jenis kenderaan memastikan tahap kebolehgunaan kenderaan mereka setiap masa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.