Lelaki dipercayai hayun rantai ke cermin kereta ditahan

Lelaki dipercayai hayun rantai ke cermin kereta ditahan

Pengadu beritahu seorang penunggang motosikal tiba-tiba mengayun rantai besi ke cermin hadapan keretanya, kata polis.

Seorang lelaki direman bagi membantu siasatan kes khianat dengan mengayun rantai ke cermin kereta. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai melakukan khianat dengan mengayun rantai besi ke cermin hadapan sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Penang pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Timur Laut, Lee Swee Sake, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian 1.48 tengah hari itu daripada seorang wanita berusia 36 tahun yang juga pemandu kereta berkenaan.

“Wanita itu memberitahu ketika dia sedang memandu mendapati seorang penunggang motosikal yang tidak dikenali secara tiba-tiba mengayun rantai besi ke cermin hadapan keretanya dan tidak pasti motif individu berkenaan berbuat demikian.

“Polis berjaya menahan lelaki berusia 33 tahun itu pada hari yang sama bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan.

Susulan penahanan lelaki yang bekerja sebagai operator kilang itu, polis merampas satu unit rantai besi, topi keledar serta sehelai kemeja-T dan suspek turut mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Dia kini direman tiga hari hingga 28 Dis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.