
Abdul Aziz Mokhtar menyifatkan masalah itu ketika ini paling teruk sepanjang 20 tahun berkecimpung dalam perniagaan, dan menjangkakan bekalan hanya akan pulih pada Mei atau Jun tahun depan.
Beliau yang menjalankan perniagaan di Kampung Sungai Batang, Bagan Datuk, Perak, tidak menolak rakyat akan berdepan kesukaran mendapatkan bekalan kelapa termasuk santan pada Ramadan dan Aidilfitri.
“Jika dulu bekalan berlambak ditambah dengan kelapa import dari Indonesia.
“Tetapi masa ini kelapa langsung tak ada iaitu 80 ke 90% berkurang. Sampai ada peniaga kelapa atau santan ‘tutup kedai’ dua minggu untuk kumpul bekalan. Tutup dua minggu lepas itu baru buka, dan ia berterusan,” katanya kepada FMT.
Pada Selasa, Fama menjangkakan masalah kekurangan bekalan kelapa di pasaran akan pulih menjelang bulan depan, susulan laporan kenaikan harganya secara mendadak.
Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli, berkata Fama menerusi anak syarikatnya, Famaco juga telah meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia kepada 320 metrik tan sebulan bermula bulan ini berbanding 180 metrik tan sebelum ini.
Sebelum ini, media melaporkan rungutan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan peniaga berhubung kenaikan mendadak harga kelapa di pasaran sekali gus menyebabkan peniaga santan dalam dilema.
Difahamkan, kenaikan mendadak harga kelapa daripada RM2 sebiji sebelum ini kepada RM3.20 sebiji adalah disebabkan kekurangan bekalan dari Indonesia.
Dalam pada itu, Aziz setuju jika Fama meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia.
Bagaimanapun, beliau bimbang jika harga kelapa tua yang tinggi dari Indonesia menyebabkan harga barangan berkaitan kelapa meningkat.
“Tak pasti pembeli mampu beli atau tidak. Berapa nak jual harga santan dengan kenaikan harga,” katanya.
Seorang lagi peniaga kelapa dari Bagan Datuk, Ramli Husin senada dengan Aziz yang menjangkakan bekalan akan berkurang hingga sambutan Aidilfitri.
Bagaimanapun, Ramli tidak setuju jika Fama mengimport kelapa tua dari Indonesia.
“Nanti sudah pulih, kelapa import merata-rata dan beri kesan kepada penjualan kelapa tempatan. Apabila kelapa import banyak, kelapa tempatan tak laku,” katanya yang sudah 50 tahun terlibat dalam perniagaan kelapa.