
Dalam kenyataan ringkas di Facebook, Petronas yang mengesahkan perkara itu berkata penghantaran itu sebahagian daripada rangkaian bekalan yang lebih luas selaras dengan usaha syarikat minyak negara terbabit untuk memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil.
Katanya, satu juta tong minyak mentah itu bersamaan kira-kira 62 hingga 64 juta liter diesel, 45 hingga 48 juta liter petrol, 22 hingga 24 juta liter bahan api penerbangan, sekitar lima hingga enam juta liter gas petroleum cecair (LPG), serta 18 hingga 25 juta liter produk lain.
Proses penapisan bagi satu juta tong minyak mentah itu dijangka mengambil masa kira-kira enam hari.
Petronas berkata secara purata, Malaysia menggunakan kira-kira 112 juta liter bahan api setiap hari, terdiri daripada sekitar 34 juta liter diesel, 46 juta liter petrol, 12 juta liter bahan api penerbangan, dan 20 juta liter LPG.
“Penghantaran Ocean Thunder ini hanya mewakili sebahagian daripada 38% import minyak mentah Malaysia yang melalui Selat Hormuz.
“Bekalan bahan api Malaysia juga diperoleh daripada pelbagai saluran lain dalam rangkaian luas Petronas,” katanya.
Petronas turut mengesahkan pada Rabu bahawa bekalan bahan api di stesen-stesennya di seluruh negara akan kekal terjamin sehingga akhir Jun, sekali gus memanjangkan unjuran sebelum ini iaitu selama sebulan.
Ocean Thunder, yang dibina pada 2009 dan berlayar dengan bendera Panama, dimuatkan dengan minyak mentah Basrah Heavy pada 2 Mac dan dijadualkan memunggah kargo di Pengerang, Johor, pada pertengahan April.
Pada 5 April, Reuters melaporkan kapal tersebut telah melalui Selat Hormuz, sehari selepas Iran menyatakan Iraq dikecualikan daripada sebarang sekatan laluan di laluan laut penting itu.