Kami tak paksa kakitangan hadir majlis Krismas, kata kementerian

Kami tak paksa kakitangan hadir majlis Krismas, kata kementerian

Sumber di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kumpulan penyanyi yang membuat persembahan pada majlis itu adalah penganut Kristian dari Sabah dan Sarawak.

Christmas function 2
Tangkap layar majlis sambutan Krismas yang diadakan di lobi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya.
PETALING JAYA:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mewajibkan kakitangannya menghadiri majlis sambutan Krismas yang dianjurkan baru-baru ini, menurut sumber dalaman kementerian itu, selepas majlis tersebut mendapat kritikan seorang pemimpin PAS.

“Tiada arahan yang mengatakan kehadiran adalah wajib,” kata sumber itu kepada FMT, sambil menambah bahawa kehadiran adalah atas kerelaan.

Sumber itu berkata, kumpulan penyanyi yang membuat persembahan pada majlis itu adalah penganut Kristian dari Sabah dan Sarawak.

“Mereka adalah Bumiputera Kristian. Kami sengaja memilih mereka (untuk memastikan tiada orang Islam terlibat dalam persembahan),” katanya.

Tambahnya, lagu-lagu yang dinyanyikan juga bersifat sekular seperti lagu ‘We Wish You A Merry Christmas’.

Sumber itu mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hanif Jamaluddin di Facebook, yang membangkitkan isu penglibatan kakitangan Muslim dalam sambutan tersebut.

Hanif mendakwa menteri, Nga Kor Ming, seharusnya tahu bahawa adalah haram bagi umat Islam mengambil bahagian dalam perayaan agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.

Beliau juga memetik fatwa yang menyatakan haram bagi umat Islam mengambil bahagian dalam aktiviti seperti nyanyian lagu Krismas kerana liriknya bertentangan dengan hukum Islam.

“Umat Islam diajar untuk menghormati anutan dan amalan agama lain, namun ada batas perlu dijaga. Adakah menteri sengaja mencabar umat Islam?” katanya.

Sumber berkata, Nga tidak cuba untuk mencabar orang Islam dan beliau turut berkata dalam acara itu bahawa beliau menghormati Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP Melaka, Cassel Krishnan turut membidas kenyataan Hanif dan mempersoalkan sama ada PAS akan mengharamkan lagu-lagu Krismas di tempat awam jika berkuasa.

“Pergilah ke mana-mana tempat awam di Malaysia pada Disember, seperti pusat beli-belah, pasti kita akan mendengar lagu-lagu dan melihat hiasan bertemakan Krismas. Adakah semua ini akan diharamkan di bawah pendirian PAS?” kata Cassel dalam satu kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.