
Beliau berkata, kerajaan perlu mengimbangi keperluan mencari pesawat tersebut dengan memastikan dana rakyat digunakan dengan berhemah.
“Selepas lebih sedekad pesawat itu hilang dari radar, masih banyak persoalan dan misteri belum terungkai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
“Bukan sahaja keluarga dan waris, malah rakyat juga berhak untuk mendapatkan jawapan kepada segala persoalan. Justeru itu, kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika pencarian berjaya membuahkan hasil yang dinanti-nantikan selama ini.”
Jumaat lepas, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dilaporkan berkata, pada 13 Dis lepas, Jemaah Menteri secara prinsip menerima tawaran syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian MH370.
Katanya, operasi pencarian di dasar laut itu akan tertumpu di satu lokasi baharu yang dianggarkan berkeluasan 15,000km persegi di selatan Lautan Hindi.
Pencarian itu berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’, iaitu kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran sekiranya bangkai pesawat tidak ditemukan.
Pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 penumpang itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, pada 8 Mac 2014.