45 rakyat Malaysia dakwa diperas ugut polis di konsert DWP

45 rakyat Malaysia dakwa diperas ugut polis di konsert DWP

Ketua Bahagian Profesion dan Keselamatan Polis Negara, Abdul Karim, berkata bukti yang dirampas bernilai USD160,000.

dwp
Konsert Projek Gudang Djakarta 2024 berlangsung tiga hari sehingga 15 Dis lalu di Kemayoran, Jakarta Utara. (Gambar Facebook)
JAKARTA:
Pihak berkuasa Indonesia melaporkan 45 warga Malaysia menjadi mangsa dakwaan peras ugut anggota polis semasa konsert Djakarta Warehouse Project (DWP).

Ketua Bahagian Profesion dan Keselamatan Polis Negara, Abdul Karim, berkata bukti yang dirampas bernilai IDR2.5 bilion (USD160,000).

“Dua aduan rasmi telah difailkan warga Malaysia,” katanya dalam sidang media disiarkan secara langsung oleh Metro TV sambil menambah identiti pengadu akan dilindungi sepanjang siasatan.

Tegasnya, kes itu dipantau rapi badan luar seperti Suruhanjaya Polis Negara bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam siasatan.

“Kami, kepimpinan Polis Negara serius menangani sebarang bentuk pelanggaran oleh pegawai polis kami dan kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja, tanpa mengira siapa mangsa.”

Sabtu lalu, polis Indonesia menahan 18 anggotanya didakwa memeras ugut warga Malaysia ketika konsert DWP selama tiga hari di Kemayoran, Jakarta Utara yang berakhir 15 Dis lalu.

Susulan penahanan itu, Menteri Pelancongan Indonesia, Widiyanti Putri Wardhana memuji polis atas tindakan pantas mereka menyiasat dakwaan peras ugut pelancong dalam konsert itu.

Beliau berkata, kementeriannya bekerjasama dengan penganjur acara dan polis untuk menangani isu itu sejak kebimbangan pelancong didedahkan.

“Kementerian Pelancongan memohon maaf atas kesulitan dan kesan daripada kejadian ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.