
Dalam catatan Facebook malam tadi, katanya, beliau menerima laporan mengenai laman membuat dakwaan palsu boleh membantu dalam permohonan MyPR (kad pengenalan merah), dengan ada yang menjanjikan kelulusan dalam tempoh 21 hari.
Beliau berkata, aktiviti penipuan sedemikian akan disiasat dan pesalah dibawa ke muka pengadilan.
“Saya gesa orang ramai terus berwaspada dan mempertikaikan kesahihan perkara ditemui dalam talian, khasnya apabila ia sesuatu yang tidak masuk akal. Ingatlah, maklumat tidak benar merebak dengan cepat dan guna sedikit masa untuk memeriksa sebarang dakwaan boleh menyelamatkan anda daripada menjadi mangsa.
“Banyak hantaran seperti ini adalah iklan berbayar, yang timbulnya persoalan: bagaimana platform seperti Facebook atau syarikat Meta membenarkan kandungan seperti itu disiarkan tanpa membuat pengesahan? Ini satu isu pengawasan serius yang menjejaskan keselamatan pengguna,” katanya menurut Bernama.
Teo menjelaskan proses mendapatkan pemastautin tetap di Malaysia rumit dan panjang, melibatkan pelbagai peringkat dan protokol ketat di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan keselamatan negara da mustahil untuk sesiapa tidak mengikut prosedur ini atau memberi jaminan kelulusan dipercepatkan.
Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu mencerminkan kepentingan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dan Rangka Kerja Perlesenan Media Sosial yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Beliau berkata, rangka kerja yang berkuat kuasa 1 Jan depan akan memastikan penyedia platform dipertanggungjawabkan, memastikan mereka bertindak secara beretika dan bertanggungjawab melindungi pengguna daripada kandungan berbahaya.
“Dengan adanya rangka kerja ini, kami boleh memaksa platform seperti Meta bukan saja mengeluarkan iklan mengelirukan dengan pantas, tetapi juga mengambil langkah lebih ketat untuk mengesahkan isi kandungan sebelum ia sampai kepada orang ramai.
“Mari kita bersama mewujudkan persekitaran dalam talian lebih selamat dan boleh dipercayai untuk semua orang.”