Lelaki didenda RM30,000 hina institusi kehakiman di FB

Lelaki didenda RM30,000 hina institusi kehakiman di FB

Tertuduh mengaku bersalah memuat naik kandungan jelik melampau pada 22 Dis 2025.

Mohamad Azri Sahlam
Tertuduh Mohamad Azri Sahlam didakwa di Mahkamah Sesyen Keningau atas tuduhan memuat naik kandungan jelik melampau serta menghina institusi kehakiman di Facebook. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Keningau selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan jelik melampau serta menghina institusi kehakiman di Facebook.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata tertuduh, Mohamad Azri Sahlam, 41, didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Dis 2025.

Katanya, Mohamad Azri didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana secara sedar menggunakan akaun Facebook untuk memulakan penghantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau.

Hukuman pula mengikut Seksyen 233(2) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.

“Tertuduh telah membayar denda berkenaan,” kata SKMM dalam kenyataan.

SKMM berkata pihaknya memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berunsur 3R (agama, raja dan kaum) kerana boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang, kebebasan institusi kehakiman, serta menggugat ketenteraman awam.

Agensi itu turut mengingatkan orang ramai menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab, dengan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak menyalahgunakannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.