
Ketua Perangkawan, Uzir Mahidin, berkata persekitaran ekonomi dan pasaran buruh yang positif sepanjang 2023 telah menyumbang kepada peningkatan bilangan siswazah merangkumi 5.74 juta orang atau 22.3% daripada penduduk umur bekerja 15 tahun dan ke atas.
“Daripada jumlah ini, 4.92 juta orang merupakan siswazah aktif dalam tenaga buruh, seterusnya mencatatkan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Siswazah (KPTBS) yang tinggi pada 85.7%.
“Pemegang Ijazah mewakili 54.4% (3.12 juta orang) manakala pemegang diploma menyumbang 45.6% (2.62 juta orang). Bilangan siswazah ijazah dalam tenaga buruh meningkat sebanyak 5.4% manakala pemegang diploma menunjukkan peningkatan 3.5% didorong oleh peluang pekerjaan lebih baik dan pengangguran yang lebih rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siswazah dalam laporan berkenaan ditakrifkan sebagai individu yang memperoleh sijil tertinggi daripada universiti, kolej, politeknik, badan diiktiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.
Uzir berkata pada 2023, siswazah bekerja meningkat sebanyak 4.9% kepada 4.76 juta orang berbanding 4.53 juta pada 2022 seiring dengan pertumbuhan pasaran buruh Malaysia yang lebih baik.
Kira-kira dua pertiga atau 67.6% siswazah bekerja dalam kategori pekerjaan mahir iaitu sebanyak 3.21 juta orang dengan sebahagian besarnya bekerja sebagai Profesional (57.4%), diikuti Juruteknik dan Profesional Bersekutu (24.2%) dan Pengurus (18.5%).
“Siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir pula menyumbang 31.3% atau 1.49 juta orang daripada jumlah siswazah bekerja manakala mereka yang bekerja dalam kategori berkemahiran rendah hanya mewakili 1.1% (51,800 orang),” katanya.
Beliau berkata dari segi sektor ekonomi, sebahagian besar siswazah bekerja dalam sektor Perkhidmatan yang menyumbang 77.5% daripada jumlah siswazah bekerja merekodkan sebanyak 3.69 juta orang.
Ia diikuti sektor Pembuatan (13.4%) dengan 637,900 orang dan sektor Pembinaan (6.3%) dengan 301,100 orang, manakala selebihnya sektor Pertanian (1.7%) dan sektor Perlombongan dan Pengkuarian (1.0%) masing-masing mencatatkan 83,000 dan 46,800 orang.
Mengulas berkaitan gaji dan upah yang diterima oleh siswazah, Uzir berkata gaji dan upah lebih tinggi direkodkan untuk siswazah pada 2023 berbanding tahun sebelumnya, dengan penengah gaji dan upah bulanan dalam pekerjaan utama sepenuhnya masa mereka meningkat sebanyak 3.4% kepada RM4,409 (2022: RM5,465).
“Ketiga-tiga tahap kemahiran pekerjaan menunjukkan peningkatan penengah gaji dan upah positif dengan siswazah dalam kategori pekerjaan Mahir meningkat 3.6% mencecah RM5,663 (2022: RM5,467).
“Manakala penengah gaji dan upah bagi kategori Separuh Mahir meningkat 4.3% kepada RM2,375 (2022: RM2,276). Kategori berkemahiran rendah mencatat peningkatan 1.9% untuk merekodkan RM1,915 (2022: RM1,880),” katanya.