Bekas menteri cadang tubuh pasukan khas siasat nahas 7 maut

Bekas menteri cadang tubuh pasukan khas siasat nahas 7 maut

Bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong berkata kemalangan libat kenderaan berat wajar dipandang serius.

kemalangan maut plus
Siasatan awal mendapati bas persiaran terlanggar tayar lori tercabut di lorong tengah, menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung tiga kenderaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kemalangan maut membabitkan lima kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh, malam tadi.

Bekas menteri pengangkutan, Wee Ka Siong, berkata kemalangan membabitkan kenderaan berat wajar dipandang serius dan penubuhan pasukan khas perlu dibuat segera.

“Saya berharap pihak berkenaan segera tubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian ini secara lebih terperinci dan penting untuk memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya di Facebook.

Tujuh maut manakala 33 cedera dalam nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, sebuah lori dan treler, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV), kira-kira 8.45 malam tadi.

Mangsa maut ialah pemandu MPV, Khairul Ikhwan Mazupi, 32; isterinya Fadzlenna Ramli, 32; anak bongsu mereka, Muhammad Umar, 2; bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66; dan isterinya serta pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56; dan penumpang bas yang belum dikenal pasti identiti.

Dua lagi anak pasangan itu, Nur Sofea Humaira, 4, dirawat di zon kuning Hospital Melaka dan Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, di zon merah hospital sama.

Siasatan awal mendapati bas persiaran itu terlanggar tayar lori tercabut di lorong tengah dan menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung tiga kenderaan.

Memetik laporan media, Wee berkata sebanyak 825 kemalangan maut melibatkan lori direkodkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini dengan purata nahas tiga lori dalam sehari.

“(Data) oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Mohd Yusri Hassan Basri dalam laporan ini sangat membimbangkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.