7 maut, 33 cedera kemalangan di PLUS

7 maut, 33 cedera kemalangan di PLUS

Kemalangan di KM204 arah utara berhampiran R&R Ayer Keroh membabitkan sebuah bas, treler dan MPV jenis Toyota Estima.

kemalangan maut plus
Kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang menyebabkan tujuh maut di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berdekatan kawasan rehat dan rawat Ayer Keroh, malam tadi. (Gambar Bernama)
ALOR GAJAH:
Tujuh maut manakala 33 cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berdekatan kawasan rehat dan rawat (R&R) Ayer Keroh, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba Melaka, Mohd Pisar Aziz, berkata nahas itu membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, sebuah treler dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang terbunuh dalam kemalangan ngeri itu membabitkan tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan seorang bayi perempuan.

“Lima mangsa merupakan pemandu dan penumpang Toyota Estima, membabitkan dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang bayi perempuan.

“Manakala dua lagi mangsa masing-masing seorang pemandu bas persiaran dan wanita yang merupakan penumpang bas tersebut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi tadi.

Beliau berkata, semua jenazah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Pisar berkata, 17 mangsa cedera dihantar ke Hospital Melaka, 10 mangsa ke Hospital Alor Gajah dan enam lagi ke Hospital Pantai Ayer Keroh.

Katanya, mangsa mengalami pelbagai kecederaan dan polis masih mengenal pasti identiti semua yang terlibat.

Terdahulu, Pisar berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 8.45 malam, sebelum 27 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Difahamkan, insiden itu mengakibatkan kesesakan lebih 10km di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.