
Beliau berkata, jumlah tersebut juga termasuk 3,200 pegawai perubatan (MO) kontrak yang meletak jawatan untuk beralih ke jawatan tetap, selain sesetengah doktor beralih ke bidang akademik, namun masih menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam.
“Saya akui dan sedari sepenuhnya bahawa KKM kekurangan kakitangan. Manakala dalam itu, sesetengah warga KKM juga terpaksa menanggung bebanan tugas lebih daripada rakan lain. Saya pastinya tidak akan menafikan situasi ini.
“Namun, walau dengan segala kekangan yang wujud hari ini, saya akan pastikan bahawa semua isu dihadapi oleh warga KKM di lapangan akan ditangani dalam penggal kedua saya sebagai Menteri Kesihatan,” katanya dalam catatan di Facebook.
Catatan berkenaan sebagai membalas pertanyaan pakar perunding nefrologi, Dr Rafidah Abdullah, ingin tahu perancangan dan strategi KKM dalam mengatasi situasi isu peletakan jawatan oleh para doktor.
Dzulkefly berkata, ketirisan bakat kekal menjadi cabaran signifikan dalam semua industri, termasuk sektor kesihatan dan KKM tidak dapat menghalang MO dan pakar perubatan berhijrah ke sektor swasta, walaupun telah melaksanakan beberapa strategi mengekalkan mereka dalam sektor awam.
“Dalam jangka sederhana, dengan inisiatif Rakan KKM Partnership, kita akan saksikan beberapa perubahan. Prospek ganjaran lebih baik dan fasiliti kesihatan dinaik taraf – yang bakal dicapai melalui subsidi silang oleh pendapatan baharu daripada ‘perkhidmatan ekonomi premium ‘#RakanKKM’ – diharapkan dapat meningkatkan insentif untuk mereka kekal dalam sektor awam.”
Katanya, langkah jangka pendek termasuk kenaikan dan pelarasan gaji, jadual kerja lebih anjal, dan membenarkan amalan lokum.
Awal hari ini, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Jamalludin Ab Rahman, ketika bercakap kepada FMT, berkata purata tiga doktor meninggalkan sektor awam setiap hari sejak lima tahun lalu.
Katanya, perkembangan itu serius kerana berisiko menjejaskan sektor kesihatan awam jika tenaga kerja semakin berkurangan.