SKMM terbit kod tatalaku penyedia khidmat pesanan internet, media sosial

SKMM terbit kod tatalaku penyedia khidmat pesanan internet, media sosial

Kod tatalaku itu dibangunkan untuk menyokong kerangka kelesenan bagi penyedia perkhidmatan.

Kod tatalaku SKMM menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial dalam menangani kandungan dalam talian yang memudaratkan. (Gambar Unsplash)
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.

Menurut suruhanjaya itu dalam kenyataan, kod tatalaku dibangunkan untuk menyokong kerangka kelesenan untuk penyedia perkhidmatan-perkhidmatan tersebut.

Kod tatalaku itu menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh penyedia perkhidmatan dalam menangani kandungan dalam talian yang memudaratkan dan keperluan tatalaku yang lain.

Penerbitannya juga bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan mengutamakan keselamatan dalam talian terutama untuk kanak-kanak dan golongan rentan.

SKMM akan memberikan panduan dalam penerapan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) ini untuk memastikan keberkesanannya bagi mengekalkan persekitaran dalam talian yang selamat.

Katanya, kod tatalaku itu, yang boleh diakses di laman sesawang SKMM , juga akan disemak dari semasa ke semasa mengikut keperluan agar ia kekal relevan dan berkesan dalam menangani cabaran semasa.

SKMM berkata, pihaknya menghargai maklum balas yang diterima sepanjang proses rundingan awam, yang membantu memastikan kod tatalaku itu mampu menangani cabaran yang sentiasa berkembang dalam persekitaran dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.