
Notis rayuan itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi petang tadi.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan rayuan itu difailkan ketika dihubungi oleh FMT.
Pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi kini dikehendaki menyediakan rekod rayuan, yang mesti merangkumi penghakiman bertulis yang dikeluarkan oleh hakim.
Pendakwa raya kemudian akan mengemukakan petisyen rayuan untuk menyatakan kekhilafan hakim dari segi undang-undang dan fakta dalam keputusan tersebut.
Pada Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur K Muniandy berkata, pertuduhan dikenakan terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu adalah menyalahi undang-undang dan cacat kerana ia tidak mematuhi peruntukan Kanun Tatacara Jenayah.
“Pertuduhan itu adalah bertindih dan berbilang. Tambahan pula, ia tidak mendedahkan sebarang kesalahan,” katanya.
Muniandy berkata, beliau menggunakan bidang kuasa asalnya dan kuasa sedia ada sebagai hakim bicara untuk melepas dan membebaskan tertuduh.
Rosmah, 72, dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7.09 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 4 Dis 2013 hingga 8 Jun 2017, dan didakwa pada 4 Okt 2018.
Perbicaraan bermula 24 Ogos lalu dengan dua saksi pendakwaan memberi keterangan. Perbicaraan ditangguhkan dua minggu kemudian selepas Rosmah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan pada 6 Sept.