Konon untung labur lebih 90%, pengurus ladang rugi RM200,000

Konon untung labur lebih 90%, pengurus ladang rugi RM200,000

Lelaki itu meraih pulangan RM4,700 hasil pelaburan RM5,000 lalu tanpa ragu melabur RM205,000.

scammers
Pemangku Ketua Polis Kemaman, Wan Muhamad Wan Ja’afar, berkata mangsa berusia 56 tahun sedar ditipu selepas tidak terima sebarang pulangan selepas buat 12 transaksi.
KUALA TERENGGANU:
Pengurus ladang berputih mata apabila wang simpanannya RM205,983 lesap selepas diperdaya skim pelaburan tidak wujud.

Pemangku Ketua Polis Kemaman, Wan Muhamad Wan Ja’afar, berkata lelaki berusia 56 tahun itu telah menyertai pelaburan “Goldencrimson” yang diiklankan di laman sosial kerana tertarik dengan pulangan pelaburan tinggi.

Beliau berkata, mangsa telah membuat 12 transksasi ke lapan akaun bank berbeza sepanjang 4 Nov hingga 12 Dis, seperti diarahkan suspek.

“Mangsa telah membuat pelaburan pertama sebanyak RM5,000 pada 4 Nov dan memperoleh pulangan sebanyak RM4,708.50.

“Mangsa yang teruja dengan keuntungan tersebut tanpa ragu membuat 12 kali pelaburan berjumlah RM205,983 dengan harapan mendapat pulangan lebih besar,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Wan Muhamad berkata mangsa mula rasa tertipu apabila tidak menerima sebarang pulangan pelaburan seperti dijanjikan dan membuat laporan polis petang semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai berwaspada taktik penipuan yang pelbagai terutama di media sosial dan laman web.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.