
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata langkah itu membuktikan kerajaan komited menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.
“Ini langkah terbaik supaya peruntukan tersebut dapat disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat serta membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 yang akan dibiayai membabitkan RM2.388 bilion.
Katanya, kerajaan pada 13 Dis turut bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2027.
“Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu yang mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar dan lebih kompetitif di samping mengekalkan keseimbangan trilema tenaga (security, sustainability and affordability).
“Jadual tarif baharu ini dicadang untuk dilaksanakan bermula pada 1 Jul 2025 dengan melibatkan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM3.57 bilion yang akan dibiayai kerajaan,” katanya.
Petra berkata kerajaan juga memperuntukan RM55 juta untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40, khusus bagi miskin tegar disahkan dalam sistem e-kasih.
Jelasnya, semakan boleh dibuat menerusi https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti berhampiran.
“Pengguna juga boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing.
“Kerajaan berharap pengekalan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun 2025 ini akan menjamin pemain industri supaya memastikan kestabilan harga barangan di pasaran dan menyokong usaha menggalakkan pelaburan sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan,” katanya.