Tiada unsur jenayah dalam tender 1BestariNet

Tiada unsur jenayah dalam tender 1BestariNet

SPRM berkata tiada pihak akan dituduh dalam siasatan tender perkhidmatan 1BestariNet KPM bernilai RM4 bilion dianugerahkan kepada YTL Comms.

macc
SPRM berkata timbalan pendakwa raya mengarahkannya menyerahkan laporan penuh hasil dapatan siasatan kepada KPM berserta syor penambahbaikan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada pihak akan didakwa berhubung kontrak 1BestariNet Kementerian Pendidikan (KPM) yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms).

Mengesahkan siasatan sejak September lalu telah selesai, badan antirasuah itu memaklumkan tiada unsur jenayah didapati dalam pelaksanaan tender terbabit.

Katanya, siasatan susulan telah dijalankan Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM yang menumpukan kepada aspek tadbir urus serta isu berkaitan tuntutan kewangan dalam kontrak antara YTL Comms dan KPM.

“Sehubungan itu, timbalan pendakwa raya telah mengarahkan SPRM menyerahkan laporan penuh hasil dapatan siasatan kepada KPM berserta syor-syor penambahbaikan.

“Antara langkah utama disyorkan ialah KPM kembali ke meja perundingan bersama YTL Communications untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit daripada kontrak tender perkhidmatan telah dipersetujui,” katanya dalam kenyataan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, YTL Power International Berhad berkata SPRM memberitahu anak syarikatnya iaitu YTL Comms tidak akan dituduh berhubung kontrak 1BestariNet.

1BestariNet dimulakan pada 2011 ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menjadi menteri pendidikan.

Pada 4 Sept, SPRM telah memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet KPM bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Comms pada 2011.

YTL Power International sebelum ini menepis tuduhan salah laku dan menjelaskan pihaknya telah diberikan projek 1Bestarinet melalui proses tender terbuka.

Menurutnya, tender tersebut diberikan apabila bidaan pihaknya adalah yang paling mematuhi teknikal dan efektif dari segi kos berbanding kalangan 18 pembida, menunjukkan keupayaan dan merit syarikat.

Jelasnya, tuduhan salah laku itu, yang membawa kepada siasatan oleh SPRM adalah amat serius dan menjejaskan reputasi syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.