Saling tuduh punca penuntut IPTA dipukul bergilir

Saling tuduh punca penuntut IPTA dipukul bergilir

Polis berkata mangsa 20 tahun itu dipercayai dipukul menggunakan kayu.

Mohd Khairi Khairudin
Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairudin berkata mangsa yang sedang dirawat di wad biasa dilaporkan dalam keadaan stabil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis percaya tuduh-menuduh antara punca penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) dipukul secara bergilir-gilir menggunakan objek tumpul di sebuah kolej kediaman Ahad lalu.

Ketua Polis Terengganu, Mohd Khairi Khairudin, berkata mangsa 20 tahun itu dipercayai dipukul menggunakan kayu.

“Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan tiada sebarang kecederaan organ dalaman atau patah tulang dikesan, ia hanya lebam.

“Mangsa dirawat di wad biasa dan pemantauan ke atas dia masih diteruskan dan keadaan mangsa stabil,” katanya menurut Harian Metro pada sidang media di IPK Terengganu.

Beliau berkata, setakat ini, 12 penuntut ditahan dan mereka direman empat hari hingga Sabtu ini.

Beliau menasihatkan pelajar di pusat pengajian tinggi atau sekolah tidak melakukan kekerasan jenayah terhadap pelajar lain.

“Jika didapati bersalah, mereka akan dihadapkan ke mahkamah dan pihak universiti akan ambil tindakan juga. Polis akan ambil tindakan berlandaskan undang-undang.”

Semalam, media melaporkan 12 penuntut sebuah IPTA di Terengganu ditahan kerana dipercayai terbabit pukul secara bergilir-gilir menggunakan objek tumpul di sebuah kolej kediaman Ahad lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.