Serang 13 pelajar madrasah di luar kedai permainan, lelaki didenda RM18,200

Serang 13 pelajar madrasah di luar kedai permainan, lelaki didenda RM18,200

Saifur Rahman Mohd Ismail mengaku salah menyebabkan cedera ke atas 13 mangsa berusia 14 hingga 20 tahun.

Mahkamah kota kinabalu
Saifur Rahman Mohd Ismail, 38, dikenakan denda RM1,400 bagi setiap pertuduhan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.
PETALING JAYA:
Lelaki tular yang dirakam videonya menyerang sekumpulan pelajar sebuah madrasah di Kota Kinabalu didenda RM18,200 terhadap 13 pertuduhan menyebabkan kecederaan.

Tertuduh, Saifur Rahman Mohd Ismail, 38, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan di hadapan Majistret Kota Kinabalu Dzul Elmy Yunus

Mahkamah menjatuhkan denda RM1,400 bagi setiap pertuduhan, atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Menurut Harian Metro, Saifur mengaku secara sukarela menyebabkan kecederaan ke atas 13 mangsa yang berusia antara 14 hingga 20 tahun pada 14 Dis, antara 11.55 malam hingga 11.58 malam, di hadapan premis Gaming Zone di Bandar Sierra, dekat Kota Kinabalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Dalam proses rayuan, peguam Mohd Ari Nadzrah Abd Rahman memohon hukuman ringan dengan menyatakan tertuduh hanya bekerja sebagai ustaz dengan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, selain melakukan kesalahan pertama.

“Berdasarkan fakta kes, tertuduh mendapati mangsa ‘melarikan diri’ dari asrama sekitar 11.30 malam, dan itu menyebabkan dia berang.

“Walaupun itu bukan alasan untuk memukul mereka, ia menjadi faktor yang perlu dipertimbangkan. Dapatan kes juga menunjukkan mangsa hanya mengalami kecederaan tisu lembut dan lebam,” kata laporan berkenaan.

Beliau berkata, laporan polis juga dibuat pihak berkuasa dan bukan oleh mangsa atau ibu bapa mereka.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira keseriusan kesalahan dan kepentingan awam.

Beliau berkata, niat baik tertuduh tidak boleh menghalalkan perbuatan menyalahi undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.