
Perintah reman sehingga 23 Disember itu dikeluarkan Majistret Azlan Basri terhadap koperal berusia 40-an terbabit di Mahkamah Majistret Georgetown, lapor Harian Metro.
Media semalam melaporkan, seorang anggota penguat kuasa ditahan selepas dipercayai meminta rasuah bagi membantu membebaskan suami wanita itu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma.
Menurut sumber, anggota terbabit disyaki menghubungi wanita berkenaan pada 30 Nov lalu, susulan tangkapan dibuat terhadap suaminya.
Katanya, suspek meminta wang pendahuluan kira-kira RM25,000 daripada wanita berkenaan, yang kemudian membuat beberapa pindahan wang menerusi sistem pembayaran e-dompet membabitkan nilai kira-kira RM3,000.
Pada Isnin lalu, suspek sekali lagi menghubungi wanita berkenaan dan meminta kira-kira RM2,000 secara tunai, katanya.
“Susulan itu, wanita berkenaan kemudian menyerahkan wang kira-kira RM1,000 kepada suspek dalam pertemuan di sebuah stesen minyak di Sungai Dua kira-kira 2 petang sebelum ditahan,” katanya.
Pengarah SPRM Pulau Pinang Mohd Fuad Bee Basrah yang dihubungi dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.