
Fahmi memuat naik gambar dirinya bersama grafik itu di X sebelum ke Bukit Aman untuk disoal siasat polis, yang disindirnya “temu janji pertamanya” dengan polis tahun ini.
Beliau disiasat bawah Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) kerana penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak menyebabkan pecah keamanan.
Fahmi memuat naik grafik itu Selasa lalu, hari sama Musa dilantik gabenor Sabah ke-11.
Beliau mendakwa polis memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang memfailkan laporan polis terhadapnya.
Malaysiakini melaporkan Fahmi mengkritik kerajaan tidak memansuhkan Seksyen 233 CMA, selain turut menyasarkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan bekas peguamnya, Syahredzan Johan yang kini Ahli Parlimen Bangi.
Beliau merujuk kenyataan menteri komunikasi awal bulan ini bahawa pindaan CMA yang diluluskan baru-baru ini akan memastikan kandungan satira dan parodi tidak lagi dianggap jenayah.
“Saya sedang disiasat (berdasarkan grafik satira). Apa yang berlaku? Bolehkah kita mempercayai mereka yang berkuasa?” kata artis grafik itu.
Musa, ketua menteri paling lama berkhidmat di Sabah, menggantikan Juhar Mahiruddin yang penggalnya tamat akhir bulan ini. Beliau dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tun.
Ada pihak mengkritik pelantikan Musa, dengan memetik tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram terdahulu.
Jabatan Peguam Negara membebaskannya daripada semua 46 pertuduhan pada 2020.