
Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir, Muhammad, berkata sejak pengumuman cadangan RUU itu dibuat, pihaknya sudah mendesak pertemuan diadakan bersama Jabatan Pertanian.
“Tiada usaha Jabatan Pertanian sendiri untuk menganjurkan sesi konsultasi bersama kami.
“Dalam perjumpaan pertama FKMM dengan Jabatan Pertanian pada 2019, kami telah diberikan beberapa butiran berkenaan RUU tetapi tidak dibenarkan melihat teks RUU,” katanya dalam sidang media bersama wakil petani.
Pada 18 Nov lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata pindaan kepada Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta PNPV) dan penggubalan RUU Kualiti Benih Tanaman akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Katanya, Jabatan Pertanian juga bersedia untuk membentangkan kesan pindaan akta dan penggubalan RUU itu kepada mana-mana pertubuhan petani jika diperlukan.
Mengulas lanjut, Nurfitri berkata butiran diberikan jabatan itu amat membimbangkan terutama berkaitan pelesenan benih tanaman.
“Kami diberitahu bahawa setiap individu yang memproses, mengedar, berkongsi dan menjual benih tanaman wajib memiliki lesen, untuk itu sampel benih tanaman mesti dihantar ke makmal untuk ujian dan kesalahan tidak memiliki lesen adalah denda antara RM100,000 hingga RM200,000 dan tiga tahun penjara,” katanya.
Beliau berkata, objektif RUU yang mahu mengelak pembeli tertipu wajar dipuji, namun dengan mewajibkan pelesenan terhadap individu yang menyimpan dan mengedar benih adalah tindakan berlebihan, serta meningkatkan monopoli pihak korporat terhadap benih tanaman.
“Amalan tradisi petani kecil menyimpan, berkongsi, dan menjual benih secara kecil-kecilan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan adalah sangat penting untuk kepelbagaian agrobiodiversiti dan menjamin sara diri petani tersebut.
“Kami percaya objektif RUU tersebut dapat dicapai melalui undang-undang sedia ada, dan perlu termasuk dalam proses perundingan dengan petani dan orang ramai,” katanya.